everybody dies in their nightmares.

Sambungan

Sautun Nahdhah: Kenapa Golongan Muda Tidak Minat Politik

Antara perbincangan yang menarik perhatian kebelakangan ini ialah tentang keterlibatan anak muda dalam politik tanahair bahawa golongan tersebut sudah semakin tidak meminati bidang politik. Disimpulkan kekurangan kehadiran anak muda dalam ceramah, aktiviti politik oleh parti politik dan peratusan pendaftaran pengundi.

Dilaporkan 14 juta pengundi umur 21 tahun telah pun mendaftar, terdapat 3.8 juta lagi yang belum. Beberapa kaji selidik yang dijalankan menunjukkan ramai golongan muda tidak meminati politik atas beberapa sebab,antara faktor utama kerana sudah meluat dengan karenah orang-orang politik serta parti-parti politik yang ada. Memang tidak boleh menolak faktor itu, banyak lagi faktor mempengaruhi anak-anak muda untuk tidak berpolitik dan hal ini bukanlah suatu yang baru.

Golongan muda masih terkial-kial mencari arah hidup yang menyebabkan mereka lebih menumpukan kepentingan peribadi berbanding yang lain. Soal pelajaran, pekerjaan, cinta, mencari jodoh, mengumpul wang, membina kerjaya dan sebagainya, merupakan faktor penting yang menjadi fokus golongan muda untuk “diselesaikan” terlebih dahulu, sebelum beralih kepada bidang politik.Terdapat pula anak muda sememangnya malas mengambil tahu tentang politik dan hanya mementingkan hiburan atau minat masing-masing sahaja. Ada pula mementingkan keluarga kerana tanggungjawab menyara atau berbakti kepada orang tua yang lebih mengutamakan. Ada pula takut berkecimpung dalam bidang politik, jika melawan arus hadapi risiko dipantau, dibuang kerja, ditangkap dan sebagainya. Halangan di masjid dan kampus, undang-undang zalim seperti akta hasutan, akta mesin cetak, akta himpunan aman, SOSMA, POCA dan lain-lain.

Pelbagai tekanan hidup dan kerosakan yang ada di bawah sistem sekular-demokrasi pula menjadikan fokus hidup golongan muda tidak keruan sehingga sebahagian mereka tidak mempedulikan politik atau masyarakat. Segelintir anak muda yang Islamik jiwanya, lebih memilih untuk menunggu munculnya Imam Mahdi yang akan menyelamatkan umat ini, tanpa berbuat apa-apa!

Ada yang memahami politik dengan makna yang sempit seperti pilihanraya atau parlimen. Ada yang memahaminya dalam konteks yang abstrak dan falsafah seperti pengambilan keputusan secara kolektif atau pembuatan polisi umum untuk masyarakat seluruhnya dan bermacam-macam pengertian lagi. Namun, yang paling popular ialah pendapat yang menganggap politik itu adalah kekuasaan dan segala hal yang terkait dengan kekuasaan, termasuklah perebutan untuk berkuasa.Hasil daripada salah faham inilah dan dengan melihat keburukan pemerintah dan parti politik. Memang benar politik itu jijik dan kotor, jika yang dimaksudkan itu ialah politik dalam sistem demokrasi pada hari ini!

Memahami Makna Sebenar Politik

Sesungguhnya tidak ada jalan lain untuk memahami pengertian politik(Islam) dengan cara yang benar kecuali merujuk kepada politik Islam (siyasah syar’iyyah),. Dari segi bahasa, perkataan politik (siyasah) bermaksud pemeliharaan dan pengaturan maslahat (kepentingan). Di dalam kamus disebutkan sustu al-ra’iyyata siyasatan ai amartuha wa nahaituha ai ra’itu syu’unaha bi al-awamir wa al-nawahi (aku memimpin rakyat dengan sungguh-sungguh iaitu aku memerintah dan melarangnya atau aku mengatur urusan-urusan mereka dengan perintah-perintah dan larangan-larangan). Menurut pengertian syarie, politik bermaksud ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan(mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri).

Justeru dalam Islam, mengurusi urusan umat dalam seluruh aspek kehidupan baik pemerintahan, ekonomi, pergaulan, uqubat, pendidikan dan lain-lain, inilah yang dimaksudkan dengan siyasah (politik). Selain menjadi dalil bahawa Khalifah-lah yang merupakan pengatur urusan umat, hadis tersebut menerangkan tentang peranan politik yang wajib dimainkan oleh pemerintah. Bagi pihak umat(individu muslim), memerhatikan atau mengambil peduli urusan sesama kaum Muslimin, melakukan amar makruf nahi mungkar dan memuhasabah pemerintah, adalah politik yang perlu dimainkan oleh umat. Rasulullah SAW bersabda,

“Barangsiapa di pagi hari tidak memerhatikan urusan kaum Muslimin, maka ia tidak termasuk golongan mereka (kaum Muslimin)” [HR al-Hakim].

Besarnya tanggungjawab politik islam dan pahala memuhasabah pemerintah sehingga siapa yang syahid dalam melakukannya diberi status sebagai penghulu syuhada’ oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabda baginda,

“Penghulu syuhada’ ialah Hamzah dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim lalu menasihatinya, kemudian ia di bunuh (oleh penguasa tersebut)” [HR al-Hakim].

Selain individu Muslim, tanggungjawab yang sama memerhatikan urusan kaum Muslimin dan memuhasabah pemerintah, merupakan fungsi dan tugas utama sesebuah parti politik dalam Islam. Firman Allah SWT,

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat (jemaah) yang menyeru kepada kebajikan (Islam), menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar” [TMQ Ali Imran (3):104].

Berdasarkan nas yang jelas daripada al-Quran dan al-Hadis, berpolitik (dengan makna yang sebenar) merupakan sebuah kewajipan ke atas setiap individu Muslim dan juga jemaah Islam.

Maka, setiap Muslim dan jemaah Islam tidak ada pilihan kecuali wajib berpolitik, dengan maknanya yang sebenar. Ini kerana, politik adalah sebahagian daripada Islam, malah tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Justeru, apa yang wajib dilakukan oleh golongan muda sekarang bukanlah menjauhkan diri daripada politik atau tidak mempedulikan politik, tetapi berpolitik dengan cara yang benar. Melarikan diri daripada politik bermakna melarikan diri daripada Islam itu sendiri! Perbuatan mementingkan diri sendiri sehingga tidak mempedulikan nasib dan keadaan saudara seIslam yang lain merupakan perbuatan yang diharamkan oleh Islam. Di sinilah pentingnya golongan muda memahami dan menjalankan tanggungjawab politik yang diletakkan oleh Islam ke atas setiap mereka.

Setelah memahami makna politik yang sahih, maka akan terlihatlah keindahan dan kesucian politik, mengatur urusan umat dengan syariah serta melakukan amar makruf nahi mungkar dengan al-Quran dan al-Sunnah. Adapun politik yang diamalkan dalam sistem demokrasi memanglah suatu politik yang kotor lagi jijik kerana membelakangkan al-Quran dan al-Sunnah dan amat jauh daripada amalan politik Islam yang sebenar.

Politik demokrasi lahir daripada akidah sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan. Kerana itulah politik demokrasi dipenuhi dengan peraturan taghut (selain Allah), berasaskan kepada manfaat, penuh pendustaan dan tipu daya, permusuhan, perebutan kuasa, kebencian, penyesatan, kezaliman dan pelbagai jenis keburukan lainnya sebagaimana yang dapat kita saksikan pada hari ini. Ini semua terjadi kerana politik yang diamalkan bukanlah politik Islam, malah sekularisme memisahkan dan tidak membenarkan Islam dicampuraduk dengan politik.

 Sedarlah bahawa Islam tidak akan tegak secara kaffah kecuali dengan jalan politik. Sedarlah bahawa Negara Islam (Khilafah) juga tidak akan tegak kecuali dengan jalan politik. Sedarlah bahawa jika kalian tidak berpolitik dengan cara yang benar, maka kalian sebenarnya telah meninggalkan sebahagian daripada kewajipan yang penting dalam Islam dan kalian sebenarnya telah mencampakkan diri kalian ke dalam kebinasaan. Nauzubillah min zalik.

No comments: