Journal

Assalamualaikum and greetings to all.

Image result for journal tumblr

Aku mencabar diri aku pada tahun ini untuk menulis jurnal kehidupan setiap hari. Apa yang aku buat, apa yang aku makan, bila aku bangun, cukup tak solat aku.

Aku menulis jurnal itu pada waktu malam. Bilamana aku mula untuk menulis, aku akan mengimbau kembali apa yang aku lakukan pada hari itu. Secara tidak langsung, aku bermuhasabah sendiri.

Andai kebaikan yang aku lakukan pada hari itu, aku tidak ada masalah untuk menulisnya. Tapi, jika ada kejahatan yang aku lakukan, pasti aku mengelak untuk tidak menulis. Malu andai ada orang yang jumpa jurnal aku lalu mengetahui setiap kejahatan yang aku lakukan yang selama ini aku sorokkan.

Perkara pertama yang aku menyedari sepanjang menulis jurnal ini adalah tentang pengawasan Allah. Walaupun aku dapat sorok dosa aku daripada diketahui oleh orang lain dengan cara tidak menulisnya dalam jurnal, tapi Allah mengetahui. Malaikat setiap masa mancatit amalan yang dilakukan tidak terlepas walaupun hanya sekadar niat. Walhal aku tidak berlaku jujur dengan buku catatanku sedang aku lagi mengetahui apa yang aku lakukan.

Perkara yang kedua adalah berkaitan masa. Aku menyedari hakikat kepentingan masa dan masa ini merupakan makhluk Allah. Tanpa kita sedari, kita sedang bergerak menghampiri pengakhiran kehidupan. Bila mana aku terhenti menulis jurnal, maka terhentilah hidupku. Begitu juga terhentinya malaikat mencatit amal perbuatanku. Aku hidup pada hari ini meninggalkan hari semalam dan menuju kepada hari esok. Ianya tidak berhenti melainkan dengan keizinan Allah. Aku tidak boleh balik kepada hari semalam dan aku tidak boleh meninggalkan hari ini tanpa melaluinya dan aku tidak ketahui apakah yang terjadi pada hari esok kerana itu rahsia. Masa itu makhluk Allah yang sangat misteri. Perginya tanpa disedari dan datangnya penuh tanda tanya.

Setiap manusia itu mempunyai masa yang berbeza. Logik akal mengatakan masa itu diukur dengan menggunakan saat, minit dan jam. Hakikatnya, ia tidak boleh diukur. Ada orang dapat melakukan pelbagai perkara dalam satu jam walhal ada orang hanya dapat melakukan satu perkara dalam satu jam. Kadang ia berlalu pantas dan terkadang ia amat perlahan. Andai Allah memberhentikan masa itu, maka terhentilah pusingan bumi pada paksinya, planet pada orbitnya, terhentilah segala-galanya.

Kita mengaitkan setiap apa yang terjadi dalam hidup kita dengan masa atas sebab terbatasnya akal fikiran. Akal yang dibataskan dengan masa. Semua perkara perlu berkait dengan masa hingga muncul soalan-soalan seperti bilakah Allah itu wujud. Sedangkan Allah itu tidak memerlukan masa kerana masa itu adalah makhluknya yang misteri. Jika ia bukan makhluknya, mana mungkin 1 hari di akhirat nanti bersamaan 1 ribu tahun di dunia.

Perkara yang terakhir yang sangat reflect penulisan jurnal ini adalah tentang buku amalan. Aku menulisnya dengan tidak tepat kerana daya ingatan yang terbatas tetapi malaikat tidak terlepas walau satu perbuatan. Setiap langkah dicatit hingga tiada apa yang dapat disorokkan. Dalam Surah Al-Isra', ayat 13 hingga 14 Allah menceritakan bahawa manusia ini telah ditetapkan amal perbuatannya dan akan diberikan buku amalannya. Maka, bacalah manusia itu buku amalannya sendiri dan biarlah dia sahaja yang menjadi penghisab dirinya.

Andai dibaca jurnal dihadapan orang, tentu aku akan rasa malu. Dibaca dosa yang dilakukan. Dosa yang selama ini aku sorokkan. Begitu juga dihadapan Allah. Apakah perasaan sewaktu itu, aku tidak pasti.  Malu bercampur sedih dan menyesal sudah tidak berguna kerana itulah harinya. Hari Pembalasan. Ingin sekali aku pulang kembali ke dunia dan memperbetulkan kesilapan tapi apalah yang mampu aku lakukan. Ianya sudah terjadi.

Kehidupan ini sebuah misteri. Mampukah kita merungkainya?

Hiburan 2

TABIAT HEDONISME MENURUT AL-QURAN.

Hedonisme merupakan cara hidup yang mengagendakan keseronokan sebagai tujuan utama hidup. Dari akar pemikiran tersebut menyebabkan penganut hedonisme akan menilai hakikat kebenaran berdasarkan keseronokan. Apa-apa ajaran dan nasihat yang tidak mendatangkan keseronokan, maka ia dianggap salah.

:black_circle: Ingatan Surah Luqman.

Al-Quran melalui surah Luqman telah menjelaskan tabiat budaya hidup hedonisme. Sesuai dengan mesej surah tersebut yang mengemukakan topik pendidikan, surah Luqman sekaligus mendedahkan bahawa hedonisme merupakan ancaman yang sentiasa mengganggu proses pendidikan generasi pelapis yang diidamkan. Allah berfirman:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ • وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِ آيَاتُنَا وَلَّىٰ مُسْتَكْبِرًا كَأَن لَّمْ يَسْمَعْهَا كَأَنَّ فِي أُذُنَيْهِ وَقْرًا ۖ فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
"Dan di antara manusia ada yang membeli perkataan yang melalaikan guna untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa ilmu dan menjadikan jalan Allah itu sebagai ejekan. Mereka itulah yang memperolehi azab yang menghinakan • Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat peringatan Kami dia berpaling dan menyombong diri. Seolah-olah dia belum mendengarnya, seperti di telinganya ada penyumbat. Maka berikan khabar gembira kepadanya azab yang pedih" - Luqman 6-7.

:black_circle: Membeli Keseronokan.

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ
"Dan di antara manusia ada yang membeli perkataan yang melalaikan"

Hedonisme merupakan budaya hidup palsu. Hingga terpaksa mengeluarkan kos tinggi, kononnya untuk mencapai keseronokan yang diinginkan meskipun gagal mencapai ketenangan.

Bandingkan sahaja kos bagi menjayakan program kesedaran Islam berbanding kos bagi program hiburan. Bandingkan kos memanggil pendakwah dengan kos memanggil artis. Dapatkan segala contoh perbandingan, kita akan dapati agenda hedonisme pasti berkos tinggi sementara program dan aktiviti iman pasti berkos rendah.

Da'wah yang diagendakan oleh Islam tabiatnya ringkas, terus terang dan murah. Jika tidak, mana mungkin pengikut awal para Nabi di kalangan orang-orang miskin.

:black_circle: Anti Ilmu.

لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْم
"Untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa ilmu"

Kesan dari hidup penuh kelalaian, minda penganut hedonisme selalunya akan menguncup dan sukar berfikir dengan waras. Mereka suka berfikiran singkat. Tidak mahu pening-pening katanya. Golongan seperti ini apabila membuka surat khabar, mereka akan menyelak bahagian belakang terlebih dahulu.

Jika diajak berfikir dan membudayakan ilmu, mereka akan menolak dan menganggapnya sebagai komitmen yang berada di luar kemampuan minda mereka. Mereka selesa diperbodohkan lantas hidup dalam ilusi, ditipu.

:black_circle: Suka Mengejek.

وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا
"Dan menjadikannya sebagai ejekan"

Apabila diberikan peringatan yang serius, penganut hedonisme akan membalas dengan ejek-ejekan. Mereka mengalami ketagihan suka mengejek nasihat iman kerana terbawa-bawa dengan gaya hidup yang sentiasa mencari keseronokan

Hinggakan pada perkara yang serius membabitkan nasib mereka di akhirat pun boleh dibuat gurauan. Klimaksnya hingga mereka berani mengejek kalam Allah dan Rasul. Inilah yang diceritakan oleh al-Quran berkenaan perihal munafiqin:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ
"Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (mengapa suka mengejek) tentu mereka menjawab "Sesungguhnya kami hanya bersenda gurau dan bermain-main". Katakanlah apakah dengan Allah, ayat-ayatNya dan Rasulnya tergamak kamu ejek?" - al-Taubah 65.

:black_circle: 'Spin' Dan Angkuh.

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِ آيَاتُنَا وَلَّىٰ مُسْتَكْبِرًا
"Dan apabila dibacakan kepadanya peringatan-peringatan kami, dia berpaling dan menyombong diri"

Kerap kali kita mendengar ucapan defensif mereka yang degil dari menerima nasihat. Contohnya
:
"Kamu jangan anggap kamu baik dan sempurna sangat"

Ayat di atas merupakan antara contoh popular bagaimana seseorang yang telah ketagihan hidup secara hedonisme, membela diri agar tidak lut dek nasihat. Menggambarkan dirinya tidak mahu keluar dari zon lalai.

Secara langsung mengulangi keangkuhan Iblis yang mempertikaikan kedudukan Adam. Sedangkan perlakuan itu hanyalah mahu menyombong diri. Ingin mendabik dada kononnya dia lebih mulia berbanding orang yang menasihatinya. Kononnya orang yang menasihatinya tidak layak memberi nasihat.

:black_circle: Tidak Faham Bahasa.

كَأَن لَّمْ يَسْمَعْهَا كَأَنَّ فِي أُذُنَيْهِ وَقْرًا
"Seolah-olah dia belum mendengarnya, seperti di telinganya ada penyumbat"

Akibat fanatik dengan budaya hidup 'enjoy', maka sebarang dorongan dan nasihat yang dianggap mengganggu keseronokan hidupnya akan diabaikan.

Kadang-kadang mesej yang mudah, nasihat yang ringkas dan jelas gagal difahami dengan baik. Mereka memerlukan nasihat yang berulang kali oleh pendakwah-pendakwah yang cekal tidak mengerti makna serik.

:black_circle: Fatamorgana.

Penganut hedonisme mencari kesenangan palsu dalam kehidupannya. Mereka lupa hakikat hidup adalah mencarum saham yang baik untuk akhirat. Slogan 'hidup hanya sekali' menyebabkan mereka terlupa bahawa kematian pun hanya sekali. Hidup bukan urusan main-main.

Kita perlu faham bahawa hedonisme boleh meracuni sesiapa sahaja. Jika kita ada simptom-simptom yang telah dijelaskan di atas, besar kemungkinan kita telah disampuk oleh ajaran hedonisme. Yang pasti ia bukan sekadar menyerang anak muda yang sedang membesar, bahkan orang tua lanjut usia pun tidak terlepas dari fitnah hedonisme.

Abdul Mu'izz Muhammad
11 Febuari 2018.